Wednesday, February 23, 2011

Terciptanya Wanita

Posted by Anne Orvile at Wednesday, February 23, 2011

Allah telah mencipta manusia lelaki pertama yang dinamakannya sebagai Adam.  Adam dimuliakan oleh semua makhluk termasuk malaikat atas perintah Allah. Adam bebas menelusuri setiap ceruk syurga dan menikmati keindahan yang tidak terperi. Namun ditengah keindahan itu, hati Adam terasa kosong. Mengapa? Kerana dia tercari-cari pasangannya. Dia melihat segala binatang yang ada di syurga berpasang-pasangan. Hanya dia yang berseorangan. Allah mengetahui isi hati Adam dan semasa Adam sedang tidur, Allah mengambil salah satu daripada tulang rusuk Adam lalu dijadikan wanita sebagai pasangan Adam dan pelengkap nikmat syurgawi. Wanita itu dinamakan sebagai Hawa.
    Syurga masih terasa kurang lengkap tanpa wanita, sedangkan bidadari juga adalah wanita. Jika begitu boleh meriah kah dunia ini tanpa wanita? Setiap orang tidak kira lelaki atau wanita pasti tahu jawapannya. Ya, tanpa wanita sunyi sepilah dunia. Malah lelaki yang tidak ingin mencintai dan dicintai wanita juga harus mengingati dan berterima kasih kepada wanita iaitu ibunya sendiri. Tidak banggakah kita dilahirkan sebagai wanita?
Namun begitu, cukupkah sekadar dilahirkan sebagai wanita kita boleh berbangga menyandang keistimewaan ini?
Rasullullah pernah bersabda:
“Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita soleha,”
Perhiasan adalah sesuatu yang menambah seri, menyejukkan mata dan menenangkan hati. Seperti sejuknya mata melihat bunga dan tenangnya hati melihat laut biru, demikian jugalah hati dan mata apabila melihat perhiasan. Tetapi, mengapa tidak semua wanita menyejukkan hati sedangkan dia dicipta Sebagai pelengkap dunia dan akhirat. Malah ada wanita yang menyebabkan kemelut dan kacau bilau. Ini adalah kerana sekeping hati yang dimiliki.
     Apabila hati diserahkan kepada Allah maka kekallah wanita dengan tujuan asal penciptaanya iaitu penyejuk mata dan hati. Sebaliknya, jika hati dibawa jauh dari Allah, hilanglah kejernihan wajah dan jadilah dia duri yang menjadi punca kemelut dan kacau bilau. Apabila wanita lari dari ikatan Tuhan, maka terbukalah segala pintu yang akan menjerumuskan ke lembah fitnah dan kehinaan. Hilanglah seri wajah yang menjadi dambaan, yang terserlah hanyalah kecantikan palsu yang menanti untuk dipergunakan oleh manusia buas dan menjadi hamba nafsu.
     Wanita yang hatinya terikat dengan Allah adalah si gadis yang dihiasi sifat sopan dan malu, si anak yang mentaati ibubapa,  si isteri yang taat, setia dan kasih pada suami, srikandi yang tegas dan berani dengan penuh kesopanan terhadap masyarakat lainnya. Semuanya berteraskan rasa cinta kepada yang Maha Pencipta. Berbahagialah kaum Adam yang berjaya memiliki “perhiasan” sejati ini kerana pastinya hidup terarah ke syurga.

0 comments:

Post a Comment

 

Segalanya Tentang Wanita Copyright © 2010 Designed by Ipietoon Blogger Template Sponsored by Online Shop Vector by Artshare